Urut Batin, Urut B2B, Urut Batang Sebelum Kahwin, Inilah Pro Dan Kontra Buat Kaum Lelaki!
Bagi kaum lelaki yang mengalami masalah zakar berkaitan hubungan seksual, ramai yang cenderung memilih untuk melakukan cara urutan batin.
Secara tradisionalnya, urutan sebegini telah lama wujud dan dipercayai mampu meningkatkan kemampuan serta ketahanan lelaki di ranjang.
Sekiranya memang mempunyai masalah seksual, mungkin tiada masalah untuk melakukannya.
Jom sama-sama kita semua ikuti artikel ini untuk tahu tentang kesan melakukan cara urutan batin dengan lebih mendalam lagi.
Baca lebih lanjut tentang Kesihatan Seksual di sini.
Apa itu cara urutan batin lelaki?
Buat anda yang mungkin belum tahu tentangnya, urutan ini akan berfokuskan kepada alat sulit lelaki yakni zakar, testis serta prostat.
Cara urutan batin ini akan dilakukan oleh tukang urut kepada lelaki yang kebiasaannya menghadapi masalah berkaitan kehidupan seksual mereka.
Mungkin ramai dalam kalangan masyarakat kita yang gemar menjalani prosedur ini apabila sudah dekat tarikh perkahwinan masing-masing.
Ini bertujuan memberikan lebih stamina dan tenaga batin yang diperlukan untuk melalui fasa malam pertama yang begitu mendebarkan.
Berikut merupakan antara manfaat yang mungkin boleh diperolehi melalui urutan ini:
- Membantu merawat masalah mati pucuk
- Membantu merawat masalah kelenjar prostat
- Membantu menyelesaikan masalah ejakulasi pramatang
- Membantu melegakan rasa sakit ketika air mani terpancut
- Membantu melancarkan saluran air kencing
- Membantu meredakan simptom prostatic hyperplasia (BPH)
Kajian preliminari pada tahun 2009 mengesahkan bahawa kesemua masalah di atas mungkin dapat diselesaikan dengan urutan ini jika ia dilakukan dengan cara yang betul.
Bagaimana cara urutan batin lelaki?
Cara untuk melakukannya tentu sekali akan berlandaskan kepada konsep urutan pada alat kemaluan lelaki termasuk zakar dan testis.
Tujuan utama ia dilakukan adalah untuk melegakan ketegangan dan kesakitan pada otot dan urat yang terdapat di kawasan terbabit.
Kebiasaannya, fokus akan lebih diberikan pada bahagian yang terlalu tegang atau sakit bagi memaksimumkan manfaat urut batin ini.
Dengan menggunakan minyak pelincir khas, alat sulit lelaki akan diurut dengan teknik yang betul tanpa mendatangkan sebarang mudarat.
Namun anda harus memilih untuk melakukan urutan ini bersama dengan tukang urut profesional yang bertauliah dan diakui oleh doktor.